Tuesday, March 30, 2010

Dengan rasminya

Alhamdulillah...akhirnya saya berjaya juga untuk menyiapkan blog ini walaupun bukan sepenuhnya setelah mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkannya..

Hanya sekadar ingin berkongsi, satu kejutan telah saya terima hari ini daripada teman-teman menjadikan malam ini cukup istimewa..suprise party kecil-kecilan sebelum hari kelahiran saya dibuat sejurus saya tiba di bilik.
Perancangan nakal mereka cukup mudah namun sudah mampu membuatkan nafas saya seakan tersekat dan hampir tidak dapat berfikir dengan baik sewaktu terasa kehilangan sesuatu.Laptop saya hilang...
Takut, resah dan gelisah.. hanya Dia yang tahu..
Tapi bila segalanya terbongkar..semua dalam perancangan mereka.
Apapun,,terima kasih untuk kalian yang terlibat dan sempena kejutan itu, saya nukilkan sebuah puisi menggambarkan perasaan saya ketika itu..:)

Ulangtahun
(Terima kasih yan, kak sab, kak long, yana, mad, ida, k.ara, ina, sakinah)

Lewat Isyak malam itu
Ketenangan malam syahdu
Menyegar kalbu

Pantas kaki melangkah
Kembali ke kamar indah
Harus segera tiada berlengah

Terlalu banyak tugas yang menanti
Perlu diteliti
Nafas serasa terhenti
Tatkala sesuatu terjadi
Apakah ujian sedang menanti
Hanya berserah pada Ilahi
Sedih bersemadi di dalam diri
Seri hari seakan terhenti
Nafas juga sama memahami
Nadi enggan lagi simpati
hati lenyap dan mati

Laungan keramat selamat ulangtahun

Memecah sunyi malam
Rupa-rupanya ada dalang dalam diam
Mencipta resah dalam kelam
Teman seakrab masih jua dikenang

Terima kasih:)
Bila hati mula rungsing

Bila hati mula rungsing
Segala-galanya pusing
Buat apa saja bertambah pening
Alih-alih telinga berdesing

Bila hati makin rungsing
Otak keras ibarat digoreng
Jadi santapan anak ronggeng

Bila hati sudah rungsing
Penat berfikir otak dah mereng
Menunggu hati kembali berpusing

Selagi pena mahu berbicara

sepi musim itu

Sepi musim itu
Membuat waktu
Diam membisu
Pena biru terus meluru
Melakar sepi dalam rindu
Pada ruang kosong berwarna ungu

Sepi musim itu
Tiada apa yang berlaku
Hanya kabus rindu terus berlagu
Mengalun irama berlagu pilu

Saturday, March 27, 2010

Teruja untuk seketika....

Hari kedua setelah blog ini dibina, rasanya tidak sabar lagi untuk menulis untuk lembaran kali ini. Rasanya bagaikan perjalanan saya dalam memulakan langkah dalam bidang penulisan ini seperti sedang diatur dan direncanakan dengan baik oleh Yang Esa.

Hari ini, saya berkesempatan untuk singgah sebentar di PWTC sempena KL International Book Fair. Sebenarnya saya baru sahaja selesai menamatkan sesi lawatan ke HUKM bersama rakan-rakan guru pelatih yang lain. Setelah itu, kami diberi masa untuk singgah sebentar di PWTC. Keadaan di sana begitu hebat dan meriah. Namun, waktu yang tinggal membataskan pergerakan saya di lokasi berkenaan. Berhajat untuk mencari beberapa buah buku, akhirnya pergerakan saya seperti diarah untuk ke booth Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagaimana yang saya perkatakan di awal tadi, perjalanan saya dipermudahkan apabila saya menemui sebuah buku kumpulan cerpen, Pelamin Indah hasil karya Aminah Mokhtar.
Niat membeli buku tersebut diteruskan sehinggalah di kaunter saya diberitahu bahawa penulis buku tersebut ada di booth berkenaan dan sedang ditemubual dalam sesi bicara penulis.
Peluang yang ditunggu-tunggu!!!!

Alhamdulillah, saya berpeluang menemui sendiri Puan Aminah Mokhtar ini. Keterujaan berhadapan dengan beliau dan mendapat sedikit rangsangan dalam memulakan penulisan begitu terasa walau pun hanya mengambil masa yang tidak lama.
Kini, saya cuba untuk mengorak langkah lagi, doakan yang terbaik buat diri ini. Semoga tidak terkandas di pertengahan landasan..


Kasih Sufi
(Terima kasih Pn. Robiah Mohamad-Bengkel Penulisan Kreatif 2010)
(Percubaan pertama-karya cerpen)
Sebarang penambahbaikan dan komen anda dialu-alukan

Sufi mengatur langkah. Langkah kakinya semakin laju. Dia perlu segera menuju ke Dewan Besar sebelum meja pendaftaran ditutup. Hari ini dia perlu mendaftarkan diri sebagai pelajar tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia. Jam di pergelangan tangan sudah menunjukkan angka 9.45 pagi. Dia sudah terlewat hampir satu jam. Kekesalan bersarang di hatinya. Gara-gara melayan anime kegemarannya, Bleach, dia ketiduran agak lewat berbanding kebiasaannya.
Sufi tiba di hadapan Dewan Besar hampir jam 10 pagi. Keriuhan suara pelajar-pelajar baru yang mendaftar langsung tidak dihiraukannya. Sufi terkial-kial di hadapan dewan dan tidak tahu harus ke mana.
“Kat mana nak daftar ni?” Sufi berkata perlahan. Panik dengan situasi tersebut, peluh mula menitik di dahinya.
“Kamu ni dah daftar ke belum?” Sufi ditegur seseorang.
“Er..belum cikgu.Saya terlewat sikit hari ni”.
“Hari pertama masuk sekolah dah lewat? Tak apalah, kamu nampak meja kat hujung sana tu?. Baik kamu segera ke sana. Cikgu Wahidah ada lagi kat situ. Kamu daftar dengan dia. Lepas itu, cari rakan-rakan kelas kamu. Program dah nak mula.
Guru muda berkumis nipis itu tersenyum. Mohd Adzim, satu nama tertera pada tag nama yang dipakai pada bahagian kiri kemeja birunya.
“Terima kasih cikgu”

* * *
Nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Pahang dan juga lagu sekolah kedengaran di Dewan Besar SMK Seri Setia. Hari pertama pendaftaran pelajar tingkatan Enam akan diteruskan dengan minggu orientasi. Minggu yang agak memenatkan bagi mereka yang pernah bergelar pelajar.

“Kamu harus ingat, kemasukan kamu ke tingkatan Enam ini bukanlah bermakna kamu tidak layak untuk ke mana-mana matrikulasi atau ke pusat pengajian tinggi, namun peringkat ini merupakan satu platform terbaik selepas SPM untuk kamu meneruskan lagi cita-cita kamu.” Kata-kata pengetua, Puan Hajah Shamsiah bergema di dewan tersebut.
“Oleh yang demikian, jadikan langkah pertama kamu di sini untuk lebih berjaya. Buktikan pada semua bahawa kamu juga mampu untuk mengecap bukan lagi kejayaan malah mencipta kegemilangan”.

* * *
“Baiklah, tugasan pertama anda semua kat sini, macam kami semua dah buat dulu. Dah jadi tradisi la kiranya”. Saudara Anuar, selaku ketua pelajar bertindak sebagai pengerusi Minggu Orientasi, memberikan tugasan pertama.
“Oklah, kami akan edarkan kertas dan setiap orang akan dapat satu. Setiap orang kena dapatkan tandatangan semua senior kat sini. Sesiapa yang tak dapat, macam biasa akan dapat denda. Jadi pandai-pandailah nak dapatkan signature tu macam mana. Ok boleh bergerak sekarang”.

Sufi memulakan tugasan pertama bersama teman-temannya yang lain. Kebanyakan pelajar yang mendaftar ke tingkatan Enam rata-ratanya merupakan teman-temannya sewaktu tingkatan lima. Hanya beberapa pelajar sahaja yang datang dari sekolah lain. Tugasan mendapatkan signature pelajar senior tidak begitu menjadi masalah baginya. Cuma ada beberapa kerat sahaja yang agak liat untuk menurunkan tandatangan.



* * *
Ruangan kosong pada kertasnya hanya tinggal beberapa nama lagi. Dia mula bergerak ke arah segerombolan pelajar senior lelaki yang duduk berkumpulan di bangku. Lebih kurang enam orang pelajar kesemuanya.

“ Abang, kami nak tandatangan.” Nita, salah seorang ahli kumpulan bersuara. Kertas di tangan dihulurkan.
Sufi turut memberikan kertasnya untuk dipenuhkan. Kertasnya diambil oleh salah seorang pelajar yang lagaknya sebagai seorang ketua bagi kumpulan tersebut.
“Yang hujung tu siapa nama?” dia bertanya
`Ah,aku ke?’ Sufi bermonolog dengan dirinya. Terasa memang soalan tersebut ditujukan kepadanya apabila semua mata yang ada di situ memandangnya.

“Sufi.”
“Oh Sufi, emm sedap nama tu. Baik aje bunyinya macam tuannya juga.Tinggal kat mana ni? Nak datang umah boleh? Boleh jumpa mak ayah”. Dia bertanya. Rakan-rakannya yang lain mula ketawa.
Sufi diam.
“Ai sombongnya dia ni? Boleh tak?” Dia bertanya lagi. Sekali lagi rakan-rakan di sekeliling ketawa.
Sufi mula geram dengan sikap pelajar tersebut. Terasa dirinya sedang dipermainkan.
‘hati, sabar, sabar ajelah ngan mamat ni’ Sufi cuba mententeramkan hatinya.
“Oklah, takpe, tak nak kawan pun tak apa. Yang lain tu kejap ya, nanti abang tandatangan”. Dia bersuara nakal.
Hampir kesemua kertas yang berada di tangannya telah ditandatangani kecuali kertas Sufi sahaja masih berada dalam tangannya.

Geram dengan sikap lelaki tersebut, Sufi tidak tahan lagi, apatah lagi teman-temannya yang lain telah beredar.
“ Nak tandatangan ke tidak ni?” Akhirnya dia bersuara.
“Woo,woo, woo..rilek lah cik adik..”



“Wei Daus, kau jangan ah kacau dia, budak kampung aku tu. Budak baik tu Daus.”
Akhirnya, Yazid, teman Sufi ketika sekolah menengah bersuara, tidak tahan melihat rakannya diusik.
“La, budak kampung kau ke, tak cakap awal-awal”.

* * *

“Ei, geramnya aku ngan mamat tu!! sapa dia tu?dah la berlagak macho..ei geramnya..”.
“Sabarlah Sufi” Nita cuba memujuk.
“Kalau kau nak tahu. Itu lah Firdaus. Senior yang paling famous kat sekolah ni. Famous dia bukan sebab pandai, tapi tak lah sampai peringkat teruk, cuma macam aku cakap tadi la, dia tu senior paling famous sebab bermasalah kat sekolah ni. Trouble-maker la orang putih cakap. Macam gangster kot. Tu la cita yang aku dengar dari Kak Ruby, kawan baik kakak aku. Kak Ruby tu classmate dia. Tapi tahap trouble dia tu, ada jugak baiknya, orangnya pun boleh tahan jugak, hehe”. Sempat lagi dia memuji.
“Oh patutlah. Dahsyat juga la dia tu”.

* * *


Sedap suara time pantun tadi..
…….Adam Patrick

Kad kecil berwarna merah muda itu diterima lagi oleh Sufi pagi itu.

Ni coklat ngan bunga special untuk awak.
…..Adam Patrick



Sufi tersenyum. Kad kecil itu masih lagi diterimanya
‘Ai, tak sangka aku ni ada gak secret admire, hehe’ Tapi siapalah dia ni? Nak jugak aku tahu. Kalau hensem, best gak.hehe..

Hai…awak nampak cantik pakai tudung hitam..
….malam ni kita jumpa lagi ya…;)

Kad misteri itu masih lagi diterimanya. Apa yang pasti, melalui frasa terakhir yang ditulis meyakinkan Sufi bahawa pengirim itu mestilah dalam kalangan senior yang mengendalikan malam orientasi. Itu Sufi pasti.

Pandai awak berpantun tadi…
Keinginannya untuk mengetahui pengirim kad tersebut membuatkan dia membalas kad yang sering kali diletakkan di dalam laci mejanya itu

Awak ni sapa sebenarnya??
Namun, tiada jawapan. Tiada kad misteri diterimanya hari itu.

* * *


“Malam tu, saya yang bawak awak sebenarnya”.
“Serius?”
“Yalah..buat apa nak tipu”
“Ingat tak lagi bila awak jatuh…?”
“Dan ada orang sambut saya….jangan kata awak yang sambut saya……?
Hanya senyuman sebagai jawapan tadi
Diam.


“Perut awak bunyi tuh. Awak lapar eh.?
“Dalam loker saya banyak makanan.
“Nak saya ambikkan?”…

* * *
Firdaus, lelaki itulah rupanya pengirim misteri selama ini. Geram dan marah bila mengetahui segala-galanya. Namun permainan Firdaus ternyata berjaya melembutkan hati Sufi. Saat manis yang dilaluinya bersama Firdaus pasti sukar dilupakannya.

* * *

Program gotong-royong yang diadakan pada setiap minggu berjalan seperti biasa. Setiap blok asrama telah diagihkan kawasan masing-masing untuk dibersihkan. Lagu-lagu menerusi corong radio yang dikendalikan oleh pelajar senior dikeudarakan bagi menceriakan lagi suasana.

“Selamat pagi kepada rakan-rakan yang sedang sibuk membersihkan kawasan sekolah. Bersihkan elok-elok ya.Banyak lagu-lagu best akan diputarkan, taklah bosan sangat dan juga banyak SMS ucapan yang masuk ni..layannnnn..”

“ Buat Ina, Ali kat blok B kirim salam sayang dan katanya lagi, buat kerja baik-baik ya..
“Ucapan seterusnya. Ermm,,”
“Buat Sufi..ni ada rakan-rakan Firdaus nak buat ucapan”,
“wei, jangan lama-lama sangat,..”
Terdengar suara belakang menunjukkan geng-geng Firdaus sedang men’conquer’ bilik konti.
“Buat saudari Sufi, Firdaus kata dia sayang sangat-sangat kat kau.Dia pesan kat aku semalam suruh aku cakap.
“Hah.. pesanan aku plak untuk kau,kau tinggalkan ajelah lelaki macamtu. Pemalas!! Orang tengah gotong royong, dia sedap tidur. Apakata ko pilih je aku??”
“Hooooo…….!!!!”
Suara pelajar asrama yang bising membingitkan telinga.
Sufi yang sedang membersihkan longkang tersenyum tapi tatkala melihat adik-adik junior yang lain memandang ke arahnya, dia terus berpura-pura menayangkan muka tak puas hati. Konon-kononnya marah.

‘Tengah terkangkang-kangkang cuci longkang pun dapat ucapan’. Sufi tersenyum lagi.


* * *

“Awak”.. Sufi memulakan bicara.
“Erk, ahh??” Secara automatik Firdaus berpaling ke belakang dan berpaling semula ke arah meja menghadap kawan-kawannya. Tepung gomak putih terlekat pada mulutnya. Rakan-rakan yang lain diam membisu. Saling berpandangan.

“Terima kasih hadiah tu”. Sufi memulakan bicara.
“Er..oh, oh, ok takpe takpe. Benda kecil je tu”. Tersekat-sekat dia menjawabnya
“Woooooo…woooo…Daus kau buat apa ha? Dalam senyap-senyap ligat jugak kau ni ye..” hahahah. Husin menyakat Firdaus yang tiba-tiba seperti tidak kena kedudukannya.
Dewan makan bergema dengan suara kawan-kawannya menyakat Firdaus.
Dan Sufi terus berlalu meninggalkan Firdaus bersama kawan-kawannya.
`Ish, apa yang aku buat tadi? Apasal aku jumpa dia?Gila ke aku ni?habislah…alahai malunya aku…’ Sufi mengetuk kepalanya.. Kesal atas tindakannya sebentar tadi.

* * *

Masa pantas berlalu. Asam garam dalam bercinta, bergaduh sudah menjadi sebahagian daripadanya. Kaki pembuli junior title terbaik untuk lelaki itu. Itulah dia Firdaus, suka buat sesuatu yang tidak begitu digemarinya. Setiap kes yang hinggap ke pendengarannya membuatkan dia geram dengan sikap Firdaus.
Namun, setiap kali Sufi merajuk, pasti Solat Maghrib dan Isyak di Surau As-Syakirin pada malamnya, lelaki itulah imamnya.Dan Sufi antara makmumnya sudah pasti tahu lelaki itu cuba memujuknya. Dan dia pasti tewas.Terlalu banyak yang telah dilakukan Firdaus untuknya dan lelaki itu jugalah yang banyak berjasa buatnya. Berjasa?? Ya, untuk merebut jawatan. Satu frasa yang kurang enak didengari. Jawatan Ketua Aspuri yang dipegang pada awalnya tidak begitu disenangi kebanyakan senior perempuan. Mengapa tidak, segala-galanya dipengaruhi aura Firdaus sendiri. Kempen yang berjalan, dialah orangnya yang mengarak poster Sufi ke sana ke mari meminta junior memilih Sufi.
`akak tak tahu, waktu kempen abang Daus ugut kitorang. Dia cakap siap korang kalau tak undi kak Sufi..
`pastu akak tau tak setiap kali poster akak jatuh mesti dia angkat.`
Itulah Azrul. Pelajar tingkatan dua. Lagaknya seperti anak buah Firdaus. Azrul..Azrul..Terhibur Sufi teringatkan perbualannya bersama Azrul.
Dan satu perkara yang sudah pasti dijangka, almari Firdaus dipenuhi poster Sufi! Macam-macam la lelaki tu.
* * *
“Saya rasional, baik hati dan susah nak marah. Sekian. Terima kasih.”
Sebab tu Firdaus sayang…..!!!!
Hohooooooooooooooo…….bergema seluruh dewan dengan usikan Mahmud, teman sekelas Firdaus. Firdaus di sisi hanya senyum bangga.
Majulah Sufi untuk Seri Setia!!!!!
Sufi hanya menunduk malu. Dia sebenarnya tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakannya sewaktu manifesto. Satu perkara yang jelas baginya, dia tidak pernah terfikir langsung untuk memegang apa-apa jawatan.

* * *

Dari jauh kelihatan Sufi berjalan pulang dari Madrasah An-Najah. Kanak-kanak yang diajarnya turut berjalan, ada yang berbasikal dan sebagainya. Sufi dikelilingi anak-anak kecil itu.

“Ustazah, orang tu tengah tunggu ustazah ke?” Amin, salah seorang anak kecil yang belajar dengan Sufi bertanya.
“Ha? Siapa? Lelaki tu,,ermm dia tu saudara ustazah.”.Sufi terpaksa berbohong. Sufi cuba memerhatikan seorang lelaki yang bersandar di sebuah kereta sambil memandangnya.
“Ha, pakwe ustazah ye???”
`Ish, budak ni. Desis Sufi.

Dia menghampiri Firdaus yang datang secara tiba-tiba petang itu tanpa memaklumkannya terlebih dahulu.
Sufi merasa kurang selesa berjumpa dengan Firdaus ketika itu. Dengan status `ustazah` sementara, dia berasa kurang selesa, apatah lagi anak-anak kecil masih berkeliaran di sisinya, malah tidak berganjak, lagaknya seperti mahu mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya.
Sufi menghampiri Firdaus.
“Apa yang awak buat kat sini? Tak cakap pun nak datang? Nanti apa mak ayah budak-budak ni akan cakap nanti?” Nadanya perlahan namun tegas.
“Ala, apa salahnya, rindu pula kat ustazah kita hari ini”. Nakal suaranya menyakat gadis kesayangannya.
“Cantik awak hari ni”. Ikhlas Firdaus memuji. Melihat penampilan Sufi yang berbaju Punjabi dan bertudung bidang besar yang dikenakan kemas bersama kerongsang rama-rama merah cukup menyejukkan matanya.
Pujian yang sekecil itu sudah cukup membungakan hati Sufi namun di hadapan anak-anak itu segalanya perlu dijaga.

“Nah, untuk awak.”
Sekotak Coklat Cadbury dan sekuntum bunga Ros dihulurkan kepada Sufi. Bunga ros tersebut dipegannya dengan kelopaknya di bawah.

`Tak gentlemen betul lah dia ni, ada ke bagi bunga cam ni, macam tak ikhlas je.’Sufi bermonolog dalam dirinya.

“Nah, ambil coklat ni,pergi makan jauh-jauh ye. Nanti ustazah datang”
Tersenyum Firdaus melihat gelagat Sufi. Coklat yang dibelinya khas untuk buah hatinya terpaksa diberikan kepada anak-anak kecil itu. Namun dia tidak merasa terkilan kerana faham akan keadaan. Kedatangannya juga tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Rasa rindu yang semakin menghimpit tidak dapat menahan dirinya untuk bertemu kekasih hati.


* * *

Sufi tiba-tiba terpandangkan sebuah kereta Kenari berada di kawasan letak kereta.
`Tak silap aku, itu kan kereta Firdaus?` Sufi tiba-tiba merasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Fi, itu bukan ke kereta Firdaus? “Hidayah tiba-tiba mencelah seolah-olah memahami apa yang terdetik di hati Sufi.
“Kau janji ngan dia nak jumpa kat mana? Bukan ke kita nak jumpa kat kedai tadi kan?” Hidayah terus melemparkan persoalan.
“Aku pun rasa macam dia. Tapi dia buat apa kat situ? Ida, kau berhenti kat depan tu kejap. Aku nak turun jumpa dia”.

Hidayah memberhentikan keretanya betul-betul di belakang kereta Firdaus.
Sufi melangkah keluar dari kereta dan menuju ke bahagian tempat duduk penumpang. Dia mendekati cermin tingkap kereta Firdaus. Cermin kereta yang gelap ditambah pula dengan keadaan malam, memaksa Sufi untuk mendekatkan mukanya ke arah cermin tingkap. Mukanya didekatkan ke cermin tingkap dan tiba-tiba…
Sufi tersentak. Secara tiba-tiba dia bergerak setapak ke belakang.
‘Siapa tu? Takkan Azi?Dia buat apa dengan Firdaus?
Demi persoalan yang bersarang dihatinya, dia tidak berpuas hati.
Buat kali kedua, kedua-dua tangannya ditekapkan ke wajahnya bagi mendapatkan kepastian. Ya!!! Memang benar,Azi dan Firdaus! Sempat bertepuk tampar lagi tu? Tidak puas hati dengan apa yang dilihatnya, Sufi pantas mengetuk cermin kereta Firdaus secara berulang kali, mengharapkan agar kedua-duanya menyedari akan kehadirannya…
Namun, kedua-duanya enggan membuka pintu.
Sedih dan kecewa dengan keadaan tersebut, Sufi berlari menuju ke kereta sepupunya, Hidayah. Segera dia masuk. Terlalu kecewa dia dengan sikap Firdaus. Air mata tidak dapat ditahannya lagi dari terus mengalir.
“Kau ni kenapa Fi?” Kenapa Daus tak keluar”? Hidayah cuba bertanya. Panik dengan keadaan sepupunya, dia perlu mendapatkan kepastian.
“Aku nampak ada perempuan keluar dari kereta tu. Siapa dia?” Soalan demi persoalan menerjah pendengaran Sufi.
“Kenapa ni Fi? Cuba kau bagitau aku?”
Sufi menggelengkan kepala. Tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Dirasakan satu beban kepiluan yang terlalu berat terpaksa ditanggungnya.
“Firdaus…dia….Azi..” Sufi tidak mampu untuk meneruskan kata-kata.
‘Ya Allah, kuatkanlah semangatku, berikan kekuatan padaku kala ini,’ Hati Sufi merintih.

Hidayah mula geram dengan kejadian yang berlaku. Dia segera menuju ke arah kereta Firdaus dan mengajak Firdaus keluar untuk berbincang. Sufi hanya memandang Hidayah yang sesekali tangannya bercekak pinggang. Air matanya mengalir seolahnya tidak mampu untuk berhenti.

Hon sebuah kereta yang melalui jalan tersebut berbunyi, Hidayah terpaksa meninggalkan Firdaus. Dia perlu mengalihkan keretanya yang tidak betul letaknya.
Hidayah menutup pintu dengan kuat mengejutkan Sufi yang masih diselubungi kesedihan.
“Kau jumpa dia. Bawa berbincang. Dia nak cakap dengan kau. Cuba kuat sikit Fi..Ei geramnya aku ngan mamat tu!”. Stereng kereta di hentaknya. Geram hatinya melihat sepupunya sendiri diperlakukan sedemikian rupa.

* * *

“Apa yang awak fikir sebenarnya? Firdaus menyuakan soalan. Sedikit kurang berpuas hati.
Sufi memandang wajah Firdaus. Cuba memamah wajah yang amat digeraminya ketika itu. Kelam malam menghalang pandangannya.
“Saya nampak kekasih saya dengan perempuan lain dalam kereta dalam gelap pula tu, lepas itu siap bertepuk tampar, awak nak suruh saya fikir apa?” Getar suaranya cuba ditahan. Cuba menahan amarahnya.
“Apa masalah awak sebenarnya?” Firdaus cuba berdiplomasi
“ Ha??Saya ke awak yang bermasalah sekarang ni? Sedikit tinggi suara Sufi. Soalan yang begitu tidak relevan baginya.
“Awak buat apa dengan dia? Awak ada apa-apa ke dengan dia? Soalan demi persoalan menujah pendengaran Firdaus. Kelihatannya lelaki itu kurang berpuas hati.
Makin geram dengan keadaan, Sufi menendang-nendang kereta, dashboard kereta dipukulnya bertubi-tubi.
‘ee…geramnya..Rasa cam nak tumbuk-tumbuk je mamat ni!!
Tanpa diduga, tindakannya mengundang kelucuan pada Firdaus, pantas lelaki itu ketawa.
“Kenapa awak gelak pulak??Lawak sangat ke??saya tengah gerammmm ni!!!!
“Sufi…sufi…Digelengkan kepalanya berkali-kali.Entah kenapa Firdaus merasakan tindakan Sufi yang agak keanak-anakan itu mencuit hatinya.

Demi memandangkan Hidayah yang diganggu beberapa lelaki melalui cermin sisi, Sufi pantas membuat keputusan.
“Dah lambat ni, kalau awak suka sangat pada dia, awak pergilah…”
Pantas Sufi keluar dari Proton Waja hijau muda itu. Dihempasnya pintu dengan kuat. Dia menuju ke arah kereta Hidayah, menunduk ke dalam kereta lalu mengeluarkan sebuah bungkusan kecil. Segera dia menuju semula ke arah kereta Firdaus, masuk ke perut kereta.
Bungkusan coklat yang dibelikannya khas buat Firdaus di Langkawi dihulurkan kepada Firdaus di sebelah.
Bungkusan telah beralih tangan. Kad yang terselit di balik reben merah cuba diteliti Firdaus.
“Tak perlulah awak baca nota itu, anggap saja semua itu tak ada makna. Keadaan dah sampai jadi begini”.Tanpa menunggu apa-apa, dia keluar semula.
Firdaus mendengus kasar, direbahkan kepalanya ke tempat duduk pemandu. Nota pada bungkusan dibacanya..
‘makan dengan senyuman...setiap gigtan ingat saya tau..’huhu
Pantas Firdaus keluar dari kereta.
Sufi!!!
Sufi berhenti..Dipandangnya ke arah Firdaus..
“Awak ni kenapa?awak nak apa lagi? Cukuplah tu.. sudah-sudahlah Firdaus…
“Sufi, Azi tu kebetulan kerja kat sini dan dia nak jumpa saya dengan awak sekali dan tak ada sebab lain.
Sepi.
“Awak tak pernah layan saya mcam saya ni kekasih awak…”
Berdesing telinga Sufi tatkala mendengarkan pengakuan Firdaus itu. Sufi terpana mendengar pengakuan Firdaus, pelik dengan kenyataannya. Apakah selama ini dia tidak memahami lelaki itu?

“Daripada awal, saya dah bagitau awak, saya tak pernah bercinta, apa awak nak saya layan awak? Beritahu saya apa yang perlu saya buat supaya saya boleh berubah…”
“Saya tak tahu nak cakap macam mana, awak tu dah la telefon pun jarang, mesej pun skali sekala aja, kalau keluar jalan pun semeter, bawak sepupu pulak tu!! Firdaus akhirnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
`Nah, akhirnya dia mengaku, dulu tak pernah cakap pun!!
“Habis awak nak macam mana lagi Firdaus? Lemah kedengaran suara Sufi. Tak tahu kenapa dia makin lemah dengan keadaan ini.
“Pilih…. saya ke kak Azi?”
Lantas Firdaus memandang Sufi..

Dia mengeluh. Ya,dia sedar, kebelakangan ini dia terlalu rapat dengan Azi, bekas rakan kelasnya ketika di Tingkatan Enam atas. Entah kenapa, dia berasa selesa dengan Azi. Namun, Sufi masih lagi insan istimewa yang bertakhta dalam hatinya. Namun, entahlah, dia sendiri tidak mengerti apa yang berlaku pada dirinya.

“Nantilah saya fikir”….Firdaus menjawab perlahan.
Pertemuan pada malam itu kelihatannya tidak mencapai apa-apa keputusan.
Bagai dihiris sembilu, luka parah yang sukar untuk diubati. Ya, mungkin perumpamaan itu sesuai untuk Sufi tatkala ini.
`Ya Allah, aku bersyukur dikurniakan hati dan perasaan, namun dugaan ini terlalu memedihkan`..rintih hati Sufi.


* * *

Kak Azi kan? Mesra Sufi memulakan perbualan.
Haah..Sufi kan? Seperti mengenalinya, Azi pada pandangannya seolah-olah begitu mesra.
“Akak, saya nak cakap sikit boleh?”
“Boleh….boleh.. tak ada masalah”.
“Saya ..nak cakap pasal Firdaus. “
“Akak ngan dia ada apa-apa ke?” Nah, akhirnya perkataan itu keluar dari mulutnya.
“Kami kawan saja Sufi…..dia suka Sufi. Akak tahu.”
“Betul..” Dia menambah lagi.
Jawapan nak sedapkan hati aku ke apa ni? Hatinya sedikit musykil dengan jawapan Kak Azi.
“Betul ke?”
“Kak Azi, terus terang saya katakan, Saya rasa macam saya ni mengganggu hubungan akak dengan dia..”
“Kak Azi tolonglah, saya harap sangat kak Azi dapat terus terang. Saya takut kita bertiga akan terluka. Saya sanggup undur diri. Kalau betul akak ada perasaan kat dia.”
“Betul ke Sufi nak undur diri?”
“Sufi sanggup ke? Laju sahaja kedengaran soalan itu.
`kenapa dia boleh tanya soalan macam tu?perempuan ni memang nak kena?`
“Akak, daripada kita terluka cuba kak Azi cakap, akak ada apa-apa tak dengan dia?”
“Sufi…
“Dulu dia pernah cakap dia suka kat akak. Bila akak hilangkan diri, dia cari akak”.
Hanya ALLAH yang tahu betapa sedihnya Sufi sewaktu mendengar pengakuan itu.
“Kalau mesej, akan ngan dia macam mana? “
“Lebih la daripada kawan. “
Demi mendengarkan ayat tersebut, sudah cukup menghancurkan hati Sufi.
“Oklah kalau macam tu, akak tolong cakap kat dia saya mintak maaf dan saya siap undur diri…”
“Sufi yakin dengan keputusan ni? Semua orang sayangkan Sufi.”
Mahu sahaja dia senyum mendengarkan persoalan itu.
“Saya dah nekad akak”.

* * *
Genap dua tahun pengalaman yang berlaku sedikit sebanyak telah mematangkan diri Sufi. Malah, apa yang berlaku membuatkan dirinya lebih menerima bahawa dalam menuju kehidupan yang lebih baik, bukan semua yang kita hajati akan tercapai.
Dua tahun yang berlalu juga mengajar Sufi akan apa itu kasih sayang yang sebenarnya. Ya, kasih sayang Allah SWT sebenarnya mengatasi segala-galanya. Kasih ibu dan bapa pula pelengkap sebuah kehidupan. Alhamdulillah, kini Sufi mampu menarik nafas lega kerana cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik anak bangsa semakin cerah. Dia telah berjaya menempatkan dirinya di Institut Pendidikan Guru di daerah selatan. Satu matlamat yang ingin dikecapi makin kuat diburunya.

Firdaus! Ah, lelaki itu biarlah menjadi sebahagian daripada sejarah dalam hidupnya. Khabar terakhir yang didengar oleh Sufi ialah Firdaus sedang mengikuti pengajian di sebuah kolej swasta. Perhubungan yang pernah putus dan kembali terjalin untuk beberapa kali telah meyakinkan Sufi bahawa Firdaus bukanlah yang terbaik buatnya. Lantas dia sedar cinta yang dulunya cukup kuat buat Firdaus sedikit sebanyak mematangkannya. Dia sudah terlalu penat dengan lelaki itu.
Apapun, Sufi hanya mengharapkan agar lelaki itu bahagia dengan hidupnya.
Bagi dirinya, cukuplah sekali, derita kasih itu. Biarlah ianya pergi bersama deru angin pilu, deru angin kesedihan yang akhirnya pasti akan ketemu destinasinya. Doa pada yang Esa, yakin akan segala percaturan-Nya, pasti tidak akan sia-sia.

* * *
Sufi melangkah laju ke kelasnya. Sekali lagi, dia terlewat. Anime Bleach siri terbaru yang ditontonnya semalam bersama roomatenya, Kak Wan, gadis comel dari negeri Cik Siti Wan Kembang membuatkan dia kelewatan hari ini.

“Kak Sufi, Kak Sufi.”
Mendengar namanya dipanggil, dia berhenti. Seorang junior menghampirinya.
“Ya?”
“Ni ada orang suruh saya bagi kat akak”. Dihulurnya sekeping kad kecil berwarna merah hati.
“Terima kasih ya”.
“Sama-sama”
Dibukanya sekeping kad kecil berwarna merah hati itu.

Salam perkenalan..
……….Adam Patrick…

Adam Patrick??

Friday, March 26, 2010

Titipan Pengalaman Menyelusuri Kehidupan

Assalamualaikum WBT
Salam Perkenalan buat semua......

Alhamdulillah untuk kali yang kedua, saya berkesempatan untuk memiliki blog ini setelah Indah Bumi Tuhan. Terima kasih buat Siti Zahrah Md Yusuf yang telah mengilhamkan dan mencetuskan idea untuk saya membina blog ini sejurus selepas kami menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif, IPG Kampus Perempuan Melayu anjuran Biro Penerangan dan Penerbitan, JPP.(Tahniah untuk Aminatul Rasyidah)

Blog ini saya bina khusus untuk tujuan karya-karya mahupun penulisan peribadi yang bakal saya penuhkan dari semasa ke semasa. Saya amat mengharapkan komen, pandangan serta kritikan yang membina dari semua pihak terhadap segala bentuk karya yang dihasilkan. Moga langkah pertama saya dalam meneruskan minat yang mendalam terhadap karya sastera ini akan mendapat sokongan dan dorongan daripada kalian dan semoga ianya akan diberkati yang Maha Esa. InsyaAllah...semoga bertemu lagi di lain waktu..

Pasrah
(Terima kasih Munsyi Mohamad Hj. Musip-Bengkel Penulisan Kreatif 26 Mac 2010)

Hening dan dingin pagi itu
Menyergah sunyi pagi
Menghembus tiupan suci
Kalimat sejati seorang suri
Bicara sendiri menghadap Rabbul Izzati

Jauh kembara ke dalam diri
Merungkai gelisah kian pasti
Sujud berteman koreksi diri
Hanya padaMu ku pasrahkan diri

Sinaran cahayaMu
Melenyapkan gelodak nafsu
Yang selama ini hanya menunggu waktu
Menggenggam sanubari
Melontar jauh dari realiti

(Puisi pertama di IPGKPM)