BAB AMAL
Maksudku dengan amal: Natijah dari ilmu dan ikhlas. Firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu amalkan. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, maka Dia akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan" (Surah al-Taubah).
Peringkat amal yang diperlukan dari seorang yang benar keimanannya itu adalah:
- Memperbaiki dirinya sendiri sehingga menjadi seorang yang kuat fizikal, berakhlak mulia, berpengetahuan tinggi, berupaya untuk berdikari, selamat akidah, ibadah yang sahih, berjihad dengan dirinya sendiri, menjaga masanya, teratur dalam segala urusannya dan bermanfaat kepada selain darinya.
- Membentuk rumah tangga muslim dengan membawa ahli rumahnya menghormati fikrahnya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan kehidupan, tepat dalam memilih isteri, mengikat isterinya pada hak-hak dan kewajipannya, elok tarbiyah anak-anak dan pembantu dan membesarkan mereka menurut dasar-dasar Islam. Itulah juga kewajipan setiap orang.
- Memberi petunjuk kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah kebaikan, memerangi perkara keji dan mungkar, menggalakkan sifat yang mulia, menyeru kepada kebaikan, bersegera ke arah kebaikan,
membawa pandangan umum kepada fikrah Islam dan mencelup kehidupan umum dengan celupan dakwah Islam. Itu adalah kewajipan jemaah sebagai pertubuhan yang beramal. - Membebaskan negara dari penjajahan kuasa asing bukan Islam sama ada penjajahan itu berbentuk politik, ekonomi ataupun rohani.
- Memperbaiki kerajaan sehingga menjadi kerajaan Islam yang sebenarnya. Dengan itu ia dapat menunaikan tugasnya sebagai pembantu kepada umat, buruh dan pekerja untuk kepentingannya. Kerajaan Islam adalah kerajaan di mana anggotanya adalah muslimin yang menunaikan fardhu-fardhu Islam dan tidak melakukan maksiat dan ia menjalankan semua hukum dan ajaran Islam. Tidak menjadi masalah jika kerajaan ini meminta bantuan dengan orang yang bukan Islam ketika darurat tetapi bukan dalam jawatan pemerintahan umum. Tidak menjadi masalah mengenai bentuk ataupun jenis pertolongan yang diminta selagi mana ia adalah bertepatan dengan kaedah umum dalam dasar pemerintahan Islam.
- Di antara sifat kerajaan Islam adalah: Merasakan tanggung jawab yang diletakkan kepadanya, kasihan belas kepada rakyat, berlaku adil di kalangan manusia, cermat dalam perbelanjaan wang umum dan berekonomi padanya.Antara kewajipannya adalah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, menyebarkan ajaran Islam, melengkapkan kekuatan, menjaga kesihatan, menjaga kepentingan umum, menyuburkan harta benda dan menjaga wang negara, menguatkan akhlak yang mulia dan menyebarkan dakwah Islamiyyah,Antara haknya pula ketika ia telah menjalankan kewajipannya itu adalah: Diberikan ketundukan dan kepatuhan, dibantu dengan diri dan harta. Jika kerajaan ini tidak menjalankan kewajipannya dengan sempurna maka ia mesti diberikan nasihat dan petunjuk, kemudiannya dipecat dan dijauhkan jika ia tidak mengikut nasihat kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada yang menciptanya.
- Mengembalikan kehebatan antarabangsa kepada umat Islam dengan membebaskan negara-negara Islam yang dijajah, menghidupkan keagungannya, memperdekatkan peradabannya, menghimpunkan kesatuannya sehingga membawa kepada kembalinya Khilafah Islamiyyah yang telah hilang, dan mengembalikan kesatuan yang diharap-harapkan.
- Membentuk kuasa besar dunia dengan menyebarkan dakwah Islam kepada setiap pelusuknya sehingga tidak ada lagi di sana fitnah dan agama itu hanyalah untuk Allah. Allah Taala enggan kecuali untuk disempurnakan NurNya (Maksud firman Allah). Keempat-empat peringkat yang terakhir ini adalah wajib kepada jemaah yang bersatu dan juga kepada setiap akh dengan sifatnya sebagai anggota dalam jemaah ini. Alangkah beratnya tanggung jawab dan alangkah besarnya misi ini. Manusia lain akan memandangnya sebagai khayalan sementara akh muslim memandangnya sebagai hakikat yang ingin dicapai dan dia tidak akan berputus asa. Bagi kita, Allah adalah harapan utama kepada kita seperti mana yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam surah Yusuf: "Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."